HEADER

HEADER

Monday, May 18, 2015

SINOPSIS ACT 2

  





Selepas Romeo menghadiri Majlis Tari Menari keluarga Capulet, dia bertekad untuk berjumpa dengan Juliet. Setelah Majlis Tari Menari itu tamat, Romeo bertindak berani dengan memanjat tembok rumah Datuk Capulet untuk pergi ke kawasan bawah bilik Juliet dengan tujuan ingin meyampaikan rasa cintanya terhadap Juliet. Pada masa yang sama, Juliet juga telah jatuh cinta terhadap Romeo tetapi Juliet berasa kesal kerana lelaki yang dicintainya berasal daripada keluarga Montague.

            Ketika Romeo berada di kawasan bilik Juliet, dia terdengar Juliet menyebut namanya beberapa kali. Dari percakapan yang didengari oleh Romeo itu, Romeo yakin bahawa Juliet juga mencintainya. Lalu, dengan perlahan-lahan, Romeo bertindak menyeru nama Juliet. Juliet berasa terkejut apabila mendapati Romeo sedang berdiri di bawah tingkap biliknya. Menyedari kewujudan Romeo disitu, mereka mula berbual-bual melahirkan perasaan masing-masing. Juliet telah menyuarakan pendapatnya bahawa jika Romeo benar-benar mencintainya, Romeo hendaklah mempercepatkan majlis pernikahan mereka dan Juliet akan menghantar orang suruhannya untuk mendapatkan perkhabaran dari Romeo.


            Keesokan harinya, Romeo bergegas dengan tergesa-gesa ke kediaman Friar Laurence yang dianggap mampu menyempurnakan pernikahannya dengan Juliet. Pada awalnya Friar Laurence tidak bersetuju dengan keputusan tergesa-gesa yang telah dibuat oleh Romeo. Friar Laurence mengganggap Romeo tidak serius dalam percintaan kerana sebelum ini dia terlalu mencintai Rosaline, dengan sekelip mata cintanya berubah kepada Juliet. Tetapi, Romeo telah dapat memujuk Friar Laurence bahawa cintanya terhadap Juliet merupakan cinta tulus dari hati, bukannya dari pandangan mata semata-mata. Akhirnya, Friar Laurence bersetuju untuk menyempurnakan pernikahan mereka. Romeo berasa amat gembira kerana majlis perkahwinan mereka akan disempurnakan pada petang itu juga dan dia telah berurusan dengan orang suruhan Juliet untuk menyampaikan pekhabaran kepada Juliet agar segera datang ke kediaman Friar Laurence. Pada petang itu, Juliet bersama-sama Pengasuh telah sampai ke kediaman Friar Laurence dan pernikahan diantara mereka telah disempurnakan oleh Friar Laurence. 

No comments:

Post a Comment